Translate

Tuesday, January 25, 2011

Saranan Raja Muda

KANGAR – “Kaum lain boleh berkongsi pengalaman, kaedah dan cara kaum Cina berniaga,” titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan mencemar duli merasmikan Majlis Pelancaran Pasar Malam berkonsepkan 1Malaysia yang dianjurkan bersempena Tahun Baru Cina, di sini, malam semalam.

Baginda bertitah, kaum Cina amat memandang tinggi kepada golongan peniaga dan usahawan kerana melalui aktiviti perniagaan, seseorang itu akan lebih berhadapan dengan dunia realiti.

“Pemikiran kaum Cina yang cepat dan cekap mengambil peluang niaga yang baru juga boleh dikongsi dengan kaum lain yang mahu berjaya dalam bidang ini.

“Beta melihat, selain memiliki semangat yang tinggi untuk meningkatkan taraf hidup peniaga Cina begitu berkeyakinan pada perniagaan sebagai mekanisme untuk mengukuhkan ekonomi, peribadi, keluarga, komuniti dan bangsa.

“Justeru, sempena Pasar Malam berkonsepkan 1Malaysia yang melibatkan peniaga daripada berbilang kaum ini, beta berharap agar peniaga kaum Cina akan dapat meluangkan masa menggunakan platform program ini untuk berkongsi dengan mereka dari kalangan kaum lain tentang pengalaman berniaga masing-masing,” titahnya.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puteri sulung baginda, Syarifah Khatreena Nurainah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Dr Por Choo Chor, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rosley Mat, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin dan Pengerusi Pengelola pasar malam terbabit, Tan Heng Teong.

Sebanyak 100 peniaga mengambil bahagian dalam program pasar malam yang akan dibuka sehingga 2 Februari ini.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca atas simen,
sudah baca bagilah komen.

Blogger templates

Popular Posts

 

© 2012 Sembang Perlis Thesis Theme Converted by Hack Tutors.info Edit by SembangMalaysia