Translate

Wednesday, January 19, 2011

Sarang Penagih

BILIK gerakan kini menjadi tempat tinggal penagih sejak dua tahun lalu  di Taman Permas Jaya.


Bangunan terbiar di Taman Permas Jaya jadi tempat kegiatan tak bermoral

JOHOR BAHRU: Penduduk Taman Permas Jaya, di sini, bimbang apabila sebuah bilik gerakan sebuah parti politik yang jarang digunakan bagi aktiviti masyarakat kini dijadikan pusat penagihan dadah sejak dua tahun lalu.
Kegiatan yang dipercayai didalangi orang luar itu meningkatkan kerisauan penduduk yang takut anak mereka akan terdedah dengan penyalahgunaan dadah.
Keadaan bertambah buruk apabila penagih turut menjadikan bangunan terbengkalai lain di sekitar kawasan itu tempat mereka melepaskan gian selain mereka juga semakin berani menjadikan pokok di situ sebagai tempat berteduh dengan meletakkan tilam terpakai.

Penduduk, Syed Nunci, 48, berkata persekitaran bangunan yang digunakan penagih itu membahayakan keselamatan penduduk kerana penagih sengaja menaburkan serpihan kaca bagi menghalang penduduk mendekati sarang penagihan mereka.

“Sebenarnya penagih dapat menjangkakan kehadiran penduduk yang bertugas menerusi program Rukun Tetangga (RT), jadi mereka akan menabur serpihan kaca di sekeliling bangunan bertujuan mencederakan penduduk yang mahu menyerbu markas mereka selain keadaan agak gelap kerana tidak diterangi cahaya lampu.

“Penduduk bernasib baik kerana pasukan RT sentiasa melakukan tugas rondaan, sekurang-kurangnya ia berjaya membendung kegiatan pecah rumah dan kecurian.
“Namun, kewujudan golongan penagih itu perlu dibersihkan kerana dikhuatiri akan menimbulkan masalah lain sekiranya bangunan terbengkalai itu tidak dipulihkan segera,” katanya.

Katanya, situasi itu perlu ditangani secara kolektif dengan menggabungkan kerjasama penduduk dengan mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan dengan lebih kerap selain mengharapkan kerjasama pihak polis untuk menempatkan anggotanya bagi kawalan keselamatan lebih terjamin.

Timbalan Ketua UMNO Cawangan Taman Permas Jaya, Mohd Said Budin menyarankan usaha perlu dilakukan bagi memulihkan bangunan terbengkalai itu dengan mengadakan bergotong-royong lebih kerap untuk memulihkan imej yang tercemar selain memadamkan tanggapan negatif penduduk terhadap pemimpin setempat.

“Masalah ini timbul bukan kerana penduduk tidak bergotong-royong tetapi masalah berlanjutan kerana pemilik bangunan meninggalkan bangunan mereka hingga menjadi tempat tinggal penagih berikutan dibiarkan kosong sejak sekian lama.

“Ini tidak termasuk kerosakan kereta di bahu jalan sehingga empat tayarnya hilang mungkin akibat dicuri kerana dibiarkan lama di situ tanpa dikunci.

“Mengenai bilik gerakan itu, jawatankuasa kampung perlu proaktif dengan menggunakan bangunan terbabit sebagai pusat aktiviti masyarakat kerana peruntukan digunakan membina bangunan akan lebur kerana sebilangan penduduk masih menggunakan balai raya lama untuk menggerakkan sebarang aktiviti,” katanya.

Katanya, keadaan itu bukan saja mencemarkan imej taman perumahan terbabit tetapi menjadi tempat permulaan gejala negatif terhadap remaja kerana terdedah dengan penagihan dadah.

Sementara itu, penagih yang hanya mahu dikenali, Bai, 27, berasal dari Pontian serta penghidap HIV positif, berkata beliau mendiami bilik gerakan itu hampir dua tahun lalu selepas mendapati tempat itu kosong.

“Saya mengetahui bangunan ini kosong daripada rakan penagih lain sebelum mengambil keputusan tinggal di sini bersama tiga rakan lain kerana tiada tempat lain untuk dituju.

“Kadang-kala ada juga penagih lain yang datang berpasangan melepaskan gian di sini, tetapi sepanjang kami di sini, kami tidak pernah mengganggu penduduk setempat, ” katanya.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca atas simen,
sudah baca bagilah komen.

Blogger templates

Popular Posts

 

© 2012 Sembang Perlis Thesis Theme Converted by Hack Tutors.info Edit by SembangMalaysia